Monday, July 9, 2012

Ajari aku jadi pria terhebat

Ajarkan aku menari,
Nanti terasing engkau,
Bingkas aku menghalau sepi,
Malam dan dengki.


Ajarkan aku berlari,
Nanti terjelupuk jatuh engkau,
Disisih sendiri,
Aku dan kelajuan.

Monday, April 9, 2012

Prejudis

Bisikan Amerika
kelam-kabut dunia
mengirim aku seekor raksasa
berbalut kain hitam besar yang meleret
menyorok senapang dan runcing kerambit
mengugut perut dan jiwa

kesat-kesat mata
menghalau rasukan Amerika
lalu ngeri raksasa
mencair dan mendap di lantai jahil
mengewap kabus-kabus nipis
terbit menjadi seorang wanita

di celahan purdah tidak berwarna
ada sepasang mata
gigih menjual wangian syurga

.



Friday, April 6, 2012

Kata Adele

Aku cuba untuk berpuisi
Dan bercerita tentang kisah hati
Selepas kau berlari pergi

Kata Adele,
Karya hebat datang dari hati yang dicincang
Seperti hati yang aku sedang ada sekarang

Mulai hari ini,
Aku tidak percaya kata Adele lagi
Sebab puisi ini macam babi

Thursday, April 5, 2012

Seberapa pantas

Guru Kajian Tempatan aku dulu pernah bercerita tentang wujudnya kaum asli yang punya tradisi mengikat perkahwinan dengan cara yang unik sekali.

Pengantin lelaki akan mengejar pengantin perempuan mengelilingi busut besar, dan jika yang dikejar tertangkap oleh yang mengejar, maka terikat sudah panji sehidup semati pasangan suami isteri.

"Bagaimana jika yang mengejar gagal menangkap gerangan yang dikejar?"tanya seorang murid kecil.

"Jika yang dikejar inginkan hati yang mengejar, mana bisa dia berlari pantas menjauhi kemanisan yang memanggil. Cukup beberapa tapak dia akan membiarkan dirinya tertangkap. Sudah tentu dia juga mahu berkahwin bukan? " jawab guru itu dengan ketawa besar.



Dan demi itu, hari ini aku nekad untuk berhenti. Aku memerhati kaki keding aku terdampar di kaki gunung, termengah-mengah penat mengejar yang tak pasti . Dan aku bebaskan engkau Amira binti Zainudin ,biar terus berlari dan berlari. Bukan kerana tidak lagi pantas kakiku yang mengejar. Tetapi aku mula faham seberapa pantas hati yang tidak sudi.

.